BAB 1: Kerana Miss Sara

LEGA! Seharian dia berjemur di panas terik matahari, berpusu-pusu di tengah-tengah orang ramai yang bermacam- macam bau dan ragam. Semua itu memualkan, memeritkan rongga-rongga hidungnya. Malah gegendang telinganya sudah naik sebu dengan jerit pekik dan asak-asakan yang cukup melemaskan sewaktu di dalam LRT tadi.
Beres! Hari ini sahaja, dari jam sepuluh hingga empat setengah petang baru punggungnya dapat diletakkan di atas kerusi yang enak dan empuk itu. Ditambah dengan penghawa dingin yang menyamankan, dia leka seketika merenung skrin komputer yang berlatarkan wajah kedua-dua orang tuanya. Wajah Haji Mohamad dan Hajah Aminah.
Hari ini di sebelah pagi, dia bertugas di sekitar Majlis Sambutan Hari Ibu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Manakala pada sebelah petangnya pula, kira-kira pukul dua, dia menjadi wakil syarikat ke pelancaran Minggu Membaca Peringkat Kebangsaan, di Dataran Merdeka.
Hari ini dia keluar bertugas bersama Abang Amran, ketua jurugambar yang baru sebulan bertugas semula kerana menjalani pembedahan tulang belakang. Sebelum ini dia sering keluar bertemankan Ajit, jurugambar dari negeri Jelapang Padi. Pemuda yang sering menjadi mangsa tempat dia melepaskan geram dan sakit hati. 
Hari ini Ajit cuti kerana sakit perut. Entah sejauh mana kebenarannya, Miss Sara malas hendak ambil tahu. Tetapi pagi tadi dia benar-benar menyumpah Ajit cukup-cukup, lelaki itu benar-benar telah menyusahkannya. Semua program kerja pada hari ini, sudah diatur sejak seminggu yang lalu. Memandangkan Hari Ibu menjadi tema majalah keluaran akan datang, maka persiapan rapi perlu dilakukan. Miss Sara tidak sukan buat kerja pada saat-saat akhir.
“Kau jangan main-main Jit. Kalau nak sakit perut pun tunggulah esok!” Matanya meliar memandang kalender yang terletak di atas meja. Date line hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Dia malas hendak mendengar ketua editornya itu berleter.
“Kau datang juga sekarang… aku tak kira!” paksa Miss Sara.
“Betul kak… dah empat kali saya berulang ke jamban ni. Kain yang saya pakai ni pun dah naik terburai dibuatnya,” suara Ajit sayup-sayup di corong telefon.
“Habis sekarang ni kau bogellah ya?”
“Haahlah… dalam jamban ni...” gelak Ajit sayup-sayup di hujung talian.
“Patut la bau tahi. Ceh! Tak senonoh kau!” Miss Sara menyumpah. Hidungnya berkerut. Geli-geleman dengan perangai tidak senonoh pemuda itu. Dia terbayang Ajit yang duduk mencangkung di dalam jamban di hadapannya. Cis! Buruknya....
Pagi itu sudahnya dia terpaksa keluar dengan ditemani Abang Amran. Bertugas bersama lelaki itu dia agak malu-malu sedikit. Abang Amran bukan jenis lelaki yang gila-gila seperti Ajit. Walaupun Abang Amran baik dengannya, walaupun Abang Amran boleh lebih kurang dengannya... dia tetap menghormati lelaki itu melebihi lelaki-lelaki lain yang ada di situ. Abang Amran terlalu baik orangnya. Abang Amran terlalu banyak mengetahui sejarah silamnya...
Miss Sara melunjurkan kakinya yang terasa sengal-sengal. Sesekali dia meraba di bahagian pelipat, terasa seperti ada urat yang bersimpul di situ. Rasa sengal-sengal dan tegang itu sudah dua minggu menyerang bahagian kakinya terutama pada tengah malam.
Perlahan-lahan Miss Sara menekan-nekan bahagian yang lenguh itu. Dahinya berkerut menahan perit. Tadi semasa sibuk dengan kerja, rasa sakit itu tidak dilayan sangat. Cuma sesekali dia meluruskan hujung kakinya... harap-harap mendapat sedikit kelegaan. Tetapi biasanya begitulah... sakit itu hanya lega apabila dia dapat bercuti selama seminggu dan bersenang-senang di Pulau Tioman seperti bulan lepas. Senang-senang seorang diri! Huh! Apalah yang seronoknya…
“Miss!”
Dia menoleh pada suara yang memanggil. Kaget. Skirt yang sedikit terangkat diturunkan. Dia perasan mata Jamal yang terarah pada kakinya yang tidak berkasut itu.
“Kau nak apa?” soalnya menutup rasa malu yang memercik. Penghawa dingin yang tadinya menyambar sekujur tubuhnya yang panas kini hilang rasa nyamannya. Alur baju yang sedikit luas ditarik ke belakang. Bimbang kalau-kalau lurahnya menjadi santapan mata ala-ala mengantuk ketua editor merangkap sahabatnya itu.
Miss Sara menarik sekeping tisu yang terjulur di atas meja. Dia malu dilihat oleh Jamal mukanya yang berkilat dan berminyak itu. Perlahan-lahan dia merenung wajah Jamal yang kini berdiri tegak, betul-betul di hadapan mejanya.
“Letih nampak!” sapa Jamal mesra.
“Ehhh taklah!” jawabnya acuh tak acuh, selebihnya dia cukup sakit hati apabila ditegur begitu. Letih-letih mencari bahan berita... berjemur dan kadang-kadang berhujan demi kerana mengejar date line... soalan itu yang ditanyakan pada aku? Eh, dia tak tahu ke yang bau badan aku ni dah kalahkan bau kambing gurun....
“Miss! Kau tolong cover story Si Aton. Malam ni dia patutnya pergi temu ramah Encik Hakimi di Subang Jaya. Tapi tadi dia call, maknya masuk ICU, kena hardattack. Tolong ya Miss, bukan I tak nak pergi... malam nikan pelancaran buku Lailasari… jadi I dijemput ke sana. Lagipun I bukan kenal siapa Encik Hakimi tu. Lagipun...”
“Lagipun sebab Encik Hakimi tu jantan!” Lekas-lekas Miss Sara memintas kata-kata lelaki di hadapannya itu. Alasan basi! bentaknya dalam hati.
“Dah namanya pun Hakimi... mestilah jantan, Miss. Lain kalau namanya Mimi,” seloroh Jamal sambil tersenyum mengharap. Sudah diduga, Miss Sara pasti akan menyemburnya. Bukan kali pertama dia kena sembur begitu. Dia tidak kisah, dia tidak ambil hati. Yang penting permintaannya dipenuhi dan dateline tidak terbabas seperti tiga bulan sudah.
Seketika ruang pejabat itu sunyi. Yang kedengaran cuma bunyi rancak ketukan papan kekunci dari meja Faezah - Pelajar praktikal dari UiTM. Budak muda, masih banyak semangat dan idea yang ingin dicurahkan. Macam itu jugalah dia ketika mula-mula menjalani latihan praktikal di syarikat penerbitan dahulu. Macam-macam wawasan yang ingin di ketengahkan. Macam-macam pendapat yang ingin disampaikan. Masa itu rasanya semua ingin diperbetulkan. Semua ingin ditulis. Apabila rencana yang ditulis tersiar di dalam akhbar, kembang semangkuk rasa mukanya. Bukan setakat itu, siap digunting dan disimpan di dalam fail untuk ditunjuk pada pensyarah dan rakan-rakan.
Ahhh, itu kisah sepuluh tahun dulu. Semangat begitu tidak lagi dimilikinya hari ini. Bukan apa, hasil penulisannya memang saban keluaran memenuhi majalah yang dinaunginya. Minda Editor adalah kolum tetapnya. Di situlah tempat dia bermain perasaan. Merungkai semua persoalan mengikut isu yang ingin diketengahkan. Malah sesekali menyoal pembaca agar berfikir sejenak, kerana persoalan umpama membina ruang-ruang kecil pada jiwa.
“Miss!” panggil Jamal.
Miss Sara asyik sekali menocang tinggi rambutnya. Surat khabar yang tebal itu dilipat dua lalu dijadikan kipas. Seketika anak-anak rambutnya yang merumpun lembut terbuai-buai mengikut arus angin menjadikan pemandangan di sekitar leher yang tadinya dibasahi peluh nampak cantik dan menarik.
Jamal terpegun memerhatikan semua itu. Mata Jamal tiba-tiba mati pada rantai perak berloket hijau yang tergantung di leher jinjang putih Miss Sara itu. Loket jet... bisiknya dalam hati.
“Kau pandang apa, hah?” Cepat-cepat dia menghempaskan surat khabar yang telah dilipat dua tadi ke atas meja.
Jamal yang sejak tadi begitu asyik merenung leher Miss Sara, terperanjat. Terbang melayang semangatnya bersama beberapa keping kertas yang melayang jatuh akibat hentakkan keras Miss Sara tadi. Lupa seketika dia pada kecantikan leher Miss Sara yang baru dinikmatinya sebentar tadi.
“Kau nak suruh aku masuk hospital macam mak Si Aton tu juga ke?” soal Jamal sambil mengurut dadanya.
“Bagus juga,” jawab Miss Sara selamba.
“Miss! Sampai hati kau cakap macam tu kat aku.”
Sepi. Yang kedengaran hanya bunyi kipas surat khabar yang menghambur angin. Sebentar tadi ketika Zaidaton menelefon mengatakan yang dia terpaksa bekejar ke Hospital Tawakal kerana ibunya mendapat hard attaack, Jamal sudah pening kepala. Beria-ia Zaidaton mahukan Miss Sara gantikan tempatnya. Lagipun jarak antara Subang Jaya dengan Kelana Jaya tidaklah berapa jauh. Bukan kerana dia sudah beria-ia berjanji dengan duda beranak tiga itu, tetapi kisah duda tersebut perlu dimuatkan dalam majalah keluaran bulan ini.
Rasa-rasanya tugas tersebut tidaklah terlalu membebankan Miss Sara. Selama ini pun Miss Sara yang banyak mengambil alih tugas mana-mana editor atau wartawan yang bercuti, sakit, anak deman, kematian atau bersalin. Miss Saralah penggantinya. Alasannya kerana Miss Sara belum berkeluarga, masih solo.
“Kau nampak tak muka aku yang dah tak rupa orang ni?” Dia menunjalkan jari telunjuk kanannya ke arah muka. “Kau tahu tak kaki aku ni dah macam nak putus. Peha aku ni rasa macam dah bengkak sebab banyak panjat tangga... kau tahu tak!” Kali ini kelima-lima jari tangan kanannya menepuk-nepuk paha pula. “Kau tahu tak aku penat, lapar, dahaga… panasss! Alih-alih kau nak aku cover story Si Aton tu pula. Budak-budak wartawan mana pergi? Kau suruhlah dia orang pulak. Lagipun Encik Hakimi tu bukannya menteri yang kita kena hantar editor… ” rungutnya geram. 
“Tak baik kau cakap Aton macam tu. Mak dia sekarang ni sakit...”
“Mak dia… bukan dia. Bukan mak budak-budak wartawan yang lain. So... suruh dia orang ajalah.” Sekali lagi dipancung kata-kata ketua editornya itu. Dia ingat aku robot. Bila nak guna ‘on’, Miss Sara membentak tetapi cuma di dalam hati.
“Miss...” rayu Jamal
“Aku malas!”
“Miss...” rayu Jamal lagi.
“Aku penat!”
“Miss!” desak Jamal kali ini.
“Aku letihlah Jamal!
“Miss...”
Sepi
“Miss...”
Sunyi.
“Miss... okeylah, okeylah... aku tolong picit kaki kau. Lepas tu kita pergi makan kat warung mamak depan tu. Aku belanja!” Jamal melangkah ke kerusi yang Miss Sara duduk. Dia mula menunduk, pura-pura ingin memicit kaki Miss Sara yang mengadu sengal-sengal tadi.
“Kalau kau rasa-rasa nak makan penangan aku, cubalah!” Miss Sara bangun. Cemas juga dia apabila Jamal tiba-tiba sahaja tunduk di hujung kakinya. Jangan dibuat, Jamal! Amarannya, namun cuma di dalam hati.
Miss Sara menoleh ke meja Abang Amran. Nasib baik lelaki itu tidak ada di tempatnya. Kalau tidak, sahih dia malu. Dia seringnya tersipu-sipu apabila lelaki itu tergeleng-gelengkan melihat perangainya.
“Habis tu!”
Three...”
“Kau jangan buat lawak Miss...”
“Siapa yang buat lawak? Tak ada masalah!”
Date line tak lama lagi Miss... kau tak kesian kat aku?”
“Habis tu, kau ada kesian kat aku?”
“Ada!” jawabnya pantas.
“Bila?” soal Miss Sara dengan mata menjeling.
“Ni, aku nak tolong picitkan kaki... kau tak nak! Jual mahal!” sela Jamal dengan wajah yang dibuat-buat.
“Gatal...” nada suara Miss Sara kali ini sudah mula kendur.
“Okeylah... okeylah… kau malu dengan akukan...” Jamal memandang meja budak praktikal. Kosong. Mana pergi budak Faiz ni... rungutnya dalam hati.
“Fais!” Panggil Jamal apabila melihat kelibat Faizah di tepi meja leser printer.
Faizah yang sedang asyik menyusun kertas-kertas A4, termangu-mangu apabila namanya dijerit oleh ketua editor. Di dalam hati dia mengeluh. Ketua editornya itu selalu mengganggu kerja-kerjanya. Sering dia diarahkah melakukan kerja-kerja yang di luar bidang tugasnya. Sudahlah hari-hari dia kena balik lewat.... Tetapi Encik Jamal bukan jenis orang yang suka berkira. Lebih pukul lima saja, Encik Jamal menganggapnya sebagai kerja lebih masa. Setidak-tidaknya, Encik Jamal menghargai tenaganya dan mengajar dia menjadi ‘menusia cepat pandai,’ pujuk hatinya selalu. Hidup kena tahan diuji. Dan tidak mahu menjadi wartawan yang manja kelak.
Budak praktikal selalu kena buli, itu perkara biasa, kata Miss Sara yang cuba menasihatkannya tempoh hari apabila dia mengadu tentang kerjanya yang berlambak-lambak. Sudahnya, dia MC dua hari kerana stress. Zaman Miss Sara dahulu lagi teruk, budak praktikal disuruh keluar beli rokok. Kalau student praktikal itu lelaki, okeylah juga, ini perempuan... tak ke dituduh mamak kedai tu macam-macam....
“Sekejap!” Cepat-cepat Faizah mendapatkan ketua editornya itu.
Miss Sara memandang Faizah dengan pandangan keliru. Jamal nak suruh budak ni buat apa? Wajah Miss Sara berkerut seribu memandang Jamal. Ada yang ambil MC lagi ni karang...
“Encik Jamal nak apa?” soal Faizah apabila hampir dengan Jamal. Di tangannya terpegang pen berdakwat merah yang tidak bertutup.
“Urut,” jawab Jamal sepatah.
“Urut?” Faizah keliru. Siapa yang nak diurut? Hatinya tertanya-tanya. Mimik muka Faizah nampak cemas yang bukan dibuat-buat. Siapa yang nak diurut? Encik Jamal? Ohhh... dia tidak dapat membayangkan jika itu yang perlu dia lakukan....
Miss Sara menutup mukanya dengan surat khabar. Dia menahan ketawa yang hampir-hampir terhambur keluar dengan telapak tangannya. Jamal memang telah menyalah gunakan kuasa. Mengurut tidak tersenarai dalam tugas-tugas praktikal Faezah. Kesian anak dara itu dibuli Jamal, fikirnya. Dia juga simpati melihat air muka Faizah yang seperti orang kebingungan itu.
“Siapa yang saya nak urut ni, Encik Jamal?” soal Faezah lambat-lambat. Sesekali dia melirik pada Miss Sara dan Jamal bersilih ganti.
“Kakak kau ni, sakit kaki. Orang naik tangga, dia ni panjat tangga. Sebelum kakinya yang bengkak tu melarat ke hatinya... kau tolong urut. Boleh?” tanya Jamal dengan wajah yang sengaja diseriuskan.
Dahi Faezah berkerut memandang Jamal. Seketika otaknya tidak dapat memproses data-data yang cuba disampaikan oleh Jamal kepadanya.
“Aku bayarlah! Kau cakap aje berapa?” kata Jamal tanpa matanya berkelip memandang Faezah. “Kesian kakak kau ni….”
No problem!” jawab Faizah sambil menarik nafas lega. Bukan lega kerana khidmatnya dibayar tetapi kerana orang yang perlu dia urut adalah Miss Sara dan bukannya ketua editornya
“Saya nak urut, dia tak nak...” omel Jamal. Matanya ditunakkan pada Faizah yang kini duduk selesa di sisi kaki Miss Sara.
Miss Sara tersenyum memandang Faizah. Budak ini selalu menjadi mangsa buli Jamal. Faizah pun satu, langsung tak tahu nak melawan... keluhnya dalam hati.
“Encik Jamal urut, lain...” jawabnya malu-malu. Kali ini dia sudah berani untuk bergurau dengan ketua editornya itu.
“Eh, mak saya tukang urut tau,” balas Jamal tidak mahu kalah.
“Itu mak Encik Jamal... bukan Encik Jamal,” jawab Faizah lagi. Kali ini tangannya sudah mendarat di betis gebu Miss Sara.
Oppp! Tak payah! Tak payah! Kau tak payah dengar cakap bos kau ni, Fais.” Miss Sara menolak lembut tangan Faizah yang telah mendarat di atas betisnya.
“Eh, tak ada yang payahnya kak! Dekat rumah pun saya biasa urut kaki mak saya.” Kedua-dua belah tangannya masih memegang kaki Miss Sara. Dia tahu hari ini sehari suntuk Miss Sara berada di luar. Dia tahu Miss Sara kerja kuat. Dua bulan menjalani latihan praktikal di situ, dia sudah lali melihat Miss Sara yang sentiasa sibuk.
“Tak apa... bangun tidur esok, okey la ni.” Matanya dijegilkan pada Jamal yang tersengeh-sengeh memandangnya. Siap kau Jamal! Sampai hati kau dera budak ni!
“Saya ni ada pantang larang kak. Kalau dah pegang kaki orang, kena terus urut. Kalau tak nanti, ilmu saya tak menjadi,” Faizah memandang muka Miss Sara dengan wajah yang diseriuskan. “Lagipun saya ikhlas kak...” Matanya tunak memandang ke dalam anak mata Miss Sara. Di dalam hati dia kagum dengan kecantikan Miss Sara. Wajah itu nampak mulus dan sedap dipandang. Malah hidung mancungnya nampak terletak cantik.
Miss Sarah tergelak besar mendengarkan kata-kata Faizah itu. Manakala Jamal sekali lagi berkerut dahi memandang Faizah. Sangka Miss Sara tadi, Faizah hanya main-main. Biar betul budak ni!
“Betul ni, ikhlas? Jangan cerita dengan supervisor kamu dahlah. Malu saya nanti.” Senyum Miss Sara sambil tunduk memegang bahu Faizah yang tersenyum memandangnya. Dia menghulurkan minyak gamat, oleh-oleh Abang Azmi yang baru balik bercuti dari Langkawi kepada Faizah.
Faizah mengalihkan bakul sampah yang terletak di penjuru meja Miss Sara bagi memudahkan dia duduk dan mengurut kaki Miss Sara dengan selesa. Manakala Miss Sara menghulurkan kusyen sandarnya bagi mengalas duduk Faizah. Bakul sampah itu kemudiannya dibawa pula oleh Jamal ke penjuru rak surat khabar. Dan Jamal juga sudahnya duduk di situ. Di sebelah Faezah. Di tempat, di mana tong sampah Miss Sara sepatutnya berada.
“Oiii cik abang, tengok apa tu?” Buntang biji matanya merenung Jamal yang tersengeh-sengeh macam kerang busuk itu.
Faizah yang baru hendak melumur minyak di kaki Miss Sara, turut terhenti. Dia menoleh ke arah Jamal yang duduk di sebelahnya.
“Encik Jamal... pergilah sana....” rayu Faezah dengan muka yang dibuat-buat. Kemudian dia merenung Miss Sara, tatkala Jamal masih tidak berganjak dari tempat duduknya.
“Tak apa… aku dengan dia dah macam adik-beradik,” akui Jamal tanpa malu-malu. “Kan, Sara?”
“Eh, sepusat, sepusing… mak bapak asing-asing!” Miss Sara bersuara melengking.
“Dulu kita pernah sama-sama kongsi air... tak apa pun....”
“Kongsi air, bukan kongsi kaki!” sembur Miss Sara sambil membeliakkan matanya. Menyebabkan bulu matanya yang meletik itu... hampir-hampir mencecah keningnya yang lebat. Kali ini mukanya benar-benar nampak garang.
Kring!!!
Kring!!!
Kring!!!
Tiba-tiba telefon di dalam bilik Jamal berdering nyaring.
Selamat...! bisik Miss Sara di dalam hati.
Nasib baik...! Faezah menarik nafas lega sambil tersenyum geli hati.
“Kacau betullah telefon ni!” Jamal bangun sambil merungut-rungut kecil.
Kedua-dua gadis itu tersenyum menghantar langkah Jamal dengan pandangan mata. Faizah kemudiannya lekas-lekas bangun menutup daun pintu dan menguncinya dari dalam.
Seketika kedengaranlah suara Miss Sara yang terjerit-jerit apabila bahagian-bahagian yang tegang, dipicit oleh tangan Faizah yang keras. Dia hampir menitiskan air mata apabila Faizah cuba memecahkan urat angin yang dikatakan punca mengapa kakinya sering berasa sengal-sengal dan tegang.
Macam orang nak beranak, kutuk Jamal dari dalam biliknya. Kutukan yang berbaur dengan rasa geram. Geram kerana peluangnya untuk melihat Faizah mengurut sudah terlepas.

This entry was posted on Saturday 23 July 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.

Leave a Reply