BAB 3: Hadiah Terakhir...


HAKIMI sudah beberapa kali menjenguk keluar. Tom yam yang telah dihidangkan di atas meja juga sudah dipanaskan semula. Bihun yang akan digandingkan dengan tom yam juga sudah sejuk disapa udara penghawa dingin. Rancangan di televisyen juga sudah beberapa kali di tukar siarannya. Malah Afi kini sudah mula merengek-rengek minta disuapkan bihun tom yam kesukaannya. Aroma tom yam membuatkan Afi tidak senang duduk, menjadikan Hakimi terpaksa merasuah anak kecil itu dengan sebotol susu.

Sudah berkali-kali dia menelefon sahabatnya itu bertanyakan perihal kelewatannya. Namun hanya mesin pesanan suara sahaja yang berjawab. Ke mana hilangnya sahabat itu? Baru semalam dia tetapkan temu janji mereka. Tidak mungkin hari ini dia terlupa! Ah! Ada yang nak kena mandi dengan kuah tom yam ni, ugutnya di dalam hati.

“Papa bagi Afi susu?” Hafiz memandang ayahnya kehairanan. Ayah selalunya tidak akan memberi Afi susu melainkan jika dia hendak tidur.

“Tak apalah... hari ni aja. Esok Afi kena makan dulu, baru papa buat susu. Okey?”
Afi mengangguk sambil mulutnya mengemam puting botol susu. Dia tersenyum kesukaan kerana dapat menikmati susu lebih awal hari ini.


Afi berlari ke dalam bilik mengambil bantal busuknya dan baring mengadap televisyen. Hujung bantal busuknya kemudian digentel dan digesel-geselkan di hidung sambil mulutnya sesekali mengomel yang tidak diketahui biji butirnya. Seketika kelihatan Afi leka dan khayal di dalam dunia ciptaannya.

Hakimi tersenyum memandang gelagat anak bongsunya itu. Anak manja yang hanya merasa belaian kasih seorang ayah. Anak bongsu yang membesar dengan air tangan seorang ayah. Anak yang menjadi simbol kekuatan Umi sebelum pergi menyambut panggilan Ilahi. Hadiah terakhir Umi untuk dirinya dan keluarga. Malah, lambang pengorbanan Umi pada sebuah ikatan yang dibina.

Seketika lamunannya terganggu. 



Hakimi tersenyum memandang Afi yang menggoyang-goyangkan botol susu kosong, betul-betul hampir dengan mukanya.

“Cepatnya habis....” Hakimi merenung botol kosong itu penuh hairan. “Bocor agaknya botol ni? Isy…  isy… isy….” usik Hakimi sambil menggeleng beberapa kali.

Afi ketawa melihat perlakuan ayahnya itu sambil menunjukkan puting botol susunya yang telah berlubang besar. Dia tersengeh memandang muka ayahnya. Secara tidak langsung dia telah memberikan jawapan kepada pertanyaan ayahnya sebentar tadi.

Hakimi sekali lagi menggeleng-gelengkan kepala melihat wajah nakal anak bongsunya itu.

“Macam mana boleh jadi macam ni, Afi!” Dia menepuk paha anak bongsunya itu sedikit keras. Baru lagi dia menggantikan puting botol itu dengan yang baru. Tidak sampai seminggu pun. “Kalau macam ni tauke puting pun boleh bengkrap, Afi...”

Hafiz yang tadinya tekun studi di ruang bacaan, turut menyertai mereka di ruang tamu. Dia duduk di sebelah ayahnya yang sedang ‘perang kecil’ dengan adik bongsunya itu. Bukan baru sekali ayah menegur perangai Afi yang suka menggigit puting botol. Sudah acap kali. Malah dia sendiri sudah beberapa kali memberi amaran pada Afi. Tetapi adik bongsunya itu ambil sikap ‘dek’ sahaja dengan amaran yang diberikan.

“Botol kalau dah kosong letak kat mana Afi?” tanya Hafiz.

“Singki!” jawabnya petah.

“Perut kalau dah kenyang sebut apa, Afi?” tanya Hakimi pula.

“Alhamdulillah!” jawab lancar.

“Tapi tadi ayah tak dengar pun Afi sebut?” kata Hakimi sambil matanya tunak merenung wajah Afi yang bujur sireh itu.

“Belum kenyang mana boleh sebut...” suaranya kedengaran manja.

“Hah, tak kenyang! Sebotol penuh tak kenyang lagi?’ Hakimi membulatkan matanya. Dia pura-pura marah.

“Tak... tadi lupa baca bismillah la papa.” Dia tergelak melihat mimik muka marah papanya yang dibuat-buat itu. Mata papanya yang tiba-tiba membesar itu mencuit hatinya. Dia tidak takut. Papa tidak marah. Papa mana suka marah-marah!

“Habis tu?” tanya Hakimi sambil berkerut dahi.
Afi tidak menjawab pertanyaan papanya itu. Sebaliknya dia meloncat turun dan naik semula ke riba Hakimi menyebabkan lelaki itu terhenyak ke belakang. Kali ini Afi meloncat-loncat kasar di hujung kaki Hakimi sambil kedua-dua belah tangan memegang kepala lutut ayahnya. Seketika, tumpuan Hakimi pada skrin televisyen terganggu.

“Papa...!” Kali ini sekali lagi dia melompat naik ke atas paha Hakimi.
Hakimi terkejut. Seketika dia menyeringai menahan senak apabila sekali lagi perutnya dihenyak anak bongsunya itu. Afi benar-benar ingin menguji kesabarannya.

“Dah... dah... dah!” Hafiz menyampuk sambil memukul kaki Afi yang kini duduk bersila di atas paha papanya sambil memeluk bantal kecil.

“Susu dah habis. Kedai dah tutup. Kalau nak lagi tunggu esok pulak.” Hafiz menoleh ke arah ayahnya yang masih menyeringai menahan sakit. Dalam hati terbit rasa kagum melihat sifat sabar ayahnya dengan adik bongsunya itu. Dahulu sewaktu dia kecil, bukan sahaja dia tidak berani untuk bergurau dengan ayahnya, untuk meminta duit belanja sekolah pun tidak pernah. Ketika itu perbelanjaan sekolah dia dan Dalila, mama yang uruskan.

“Sikit lagilah papa....” Kali ini Afi merengek manja. Dia tahu ayahnya sakit ketika dia melompat tadi. Tetapi dia tidak peduli. Dia juga tidak pedulikan kata-kata abang longnya. Melihatkan papanya diam, tangan kecilnya pula memukul-mukul paha lelaki itu.
“Takat ni aja!” Dia menunjuk angka lima yang tertera di botol kosong yang masih lagi tergonggong di mulutnya.

“Tak usah papa!” bantah Hafiz.

Afi memukul-mukul lagi paha Hakimi. Kali ini bertambah keras. Setiap kali kalau Afi ditegur oleh Hafiz, Hakimilahlah yang sering menjadi mangsanya. Untuk melawan cakap-cakap Hafiz, Afi tidak berani.

Menurut pandangan kasar Hakimi, Hafiz tegas orangnya. Jarang mahu bertolak ansur dengan adik-adik. Barangkali kerana dia anak sulung. Hakimi sendiri jarang menegur sikap Hafiz yang keras itu. Baginya ketegasan Hafiz itu ada baiknya. Lagipun semenjak Umi tiada, dan Dalila tinggal di asrama, Hafizlah yang mengambil alih sebahagian daripada tanggungjawab di dalam rumah itu.

Hakimi mengerutkan mukanya menahan pedih yang menjalar. Dia mengosok-gosok pahanya yang pedih sambil bersiut-siut kecil. Walaupun tangan Afi tidaklah sebesar tangan orang dewasa, tetapi sesekali terasa juga pedihnya. Itu belum dikira kalau ketamnya ligat menyepit.

“Tak boleh!” Hafiz meninggikan sedikit suaranya. “Botol kosong sila hantar ke singki. Kalau tak along buang dalam tong sampah.” Kali ini mata Hafiz tepat memandang ke arah adik bongsunya itu. Dan dia tahu sebentar lagi hujan pasti akan turun.

“Afi dengar tak along cakap apa?” marah Hafiz
Hakimi memandang wajah anak bongsunya yang mula memerah itu. Ada air jernih yang bertakung di pelupuk mata si kecil itu. Air mata tersebut kemudiaannya bergayut di hujung alisnya yang hitam lebat dan lentik itu. Seperti air yang menitik dari cucur atap kala hujan turun. Dan Hakimi tahu dia akan kalah apabila Afi sudah berkeadaan begitu.

Afi tidak mengendahkan kata-kata ayahnya. Dia merapatkan kedua-dua belah pahanya ke dada. Kali ini wajahnya disembunyikan di celah-celah antara lutut dan dada. Dia tahu, dia tidak boleh melawan cakap-cakap abang longnya. Dia tahu dia tidak boleh ingkar arahan abang longnya. Selama ini pun dia membesar dengan kasih sayang papa dan abang longnya. Kasih sayang yang sedikit keras. Namun kasih sayang itu akan bertukar lembut apabila kakak ngahnya balik dari asrama. Masa itu barulah ada orang yang sudi melayan manjanya. Ketika itu barulah dia boleh mengada-ada.

Baru Hakimi ingin bangun ke dapur untuk membuat susu, tiba-tiba loceng di luar pagar rumahnya berbunyi. Hakimi sempat menoleh jam berukiran tik di sudut ruang tamu. Jam yang dibeli ketika dia out station ke Jakarta dua tahun lepas.

Hakimi menarik nafas lega. Tetamunya sudah sampai. Tetamu yang ditunggu-tunggu sejak pukul lapan dan kini jarum panjang telah menunjukkan ke angka sembilan. Ini bermakna tetamunya itu telah terlewat sejam. Nasib baiklah dia menunggu di rumah, kalau di coffee house, tentu pelayan di situ menyampah melihat cemberut mukanya.

Hakimi melangkah ke pintu. Diikuti di belakangnya Afi sambil menggonggong botol kosong. Kedua-dua beranak itu mengintai di sebalik cermin sliding door.

Hakimi berhajat ingin menyeranah sahabatnya itu kerana lewat. Namun hajatnya tergelincir. Bukan Zaidaton, sahabat sekampungnya, teman seuniversitinya yang datang. Kalau Zaidaton tentunya memakai tudung. Kalau Zaidaton sudah tentu bising mulutnya menyuruh dia segera bukakan pintu, waima hari hujan begini. Tetapi ni... Zaidaton yang mana?

Afi yang berdiri di sebelah ayahnya turut memandang penuh hairan. Ini bukan Auntie Aton. Malah Hafiz yang muncul di celah-celah antara mereka turut memandang penuh tanda tanya.

This entry was posted on Tuesday 16 August 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.

Leave a Reply