BAB 2: Jika ini satu kebetulan...


KEADAAN malam yang pekat dan basah selepas lewat petang tadi hujan, benar-benar menyebabkan pencariannya menjadi sukar. Sudahlah begitu, beberapa batang lampu jalan juga banyak yang tidak menyala, menjadikan dia terpaksa memperlahankan kereta Wiranya pada kelajuan yang minima. 

           Nombor rumah yang terdapat di luar peti surat diperhatikan betul-betul. Dia tidak mahu tersilap. Kesilapan sering menjadikan moodnya hilang.


Sekejap-sekejap Miss Sara tinggikan lampu keretanya bagi menyuluh nama dan nombor jalan. Sekejap-sekejap terpaksa diturunkan semula apabila ada kenderaan yang datang dari arah hadapan. Kata orang, segan bertanya sesat jalan... tetapi dengan siapa dia hendak bertanya.


Rata-rata penghuni di taman itu berkurung di dalam rumah. Sepetang hujan menjadikan cuaca sejuk dan masing-masing tentunya malas untuk keluar rumah. Kalau diikutkan, dia juga malas untuk keluar. 

Waktu-waktu begini melayan mata lagi bagus. Tetapi dia tidak sampai hati untuk menolak permintaan Jamal tadi. Walaupun dia dan Jamal bersahabat baik, tetapi dia akur... Jamal adalah ketuanya. Pangkat Jamal mengharuskan dia untuk menghormati arahan lelaki itu. Lagipun bukan sikapnya suka mengambil kesempatan dengan kebaikan orang lain. Dia punya prinsip dalam bekerja.


“Aku masuk sini awal dua tahun daripada kau. Kalau tak tentu kau yang jadi bos aku.” Itulah alasan Jamal apabila dia cuba untuk meletakkan jurang antara mereka. “Kau jangan jadi kawan aku kalau kau anggap aku ni bos kau. Aku segan. Dulu kau senior aku yang paling aku kagum. Cakap-cakap kau tak ada siapa yang berani bangkang. ”

Miss Sara memberhentikan keretanya di simpang jalan. Harap-harap pondok telefon di situ boleh digunakan. Dia mencari kepingan siling di dalam dompet duitnya. Kosong. Yang ada cuma beberapa keping duit lime sen. 

Miss Sara menarik laci kecil yang terdapat di bawah radio yang sedang terpasang. Hampa. Macam mana ni… rungutnya dalam hati. Selebinya dia menyumpah pada telefon bimbitnya yang kehabisan bateri.


Miss Sara cuba menggeledah di dalam dashbot pula. Alhamdulillah... dompet syiling Khalisyah ada di situ. 

Khalisyah ialah anak buahnya. Anak kakaknya, Maleha yang tua tiga tahun daripadanya. Khalisyah ialah anak buah yang paling rapat dengannya. Anak buah yang sering mengekor ke mana sahaja langkahnya, waima ke pejabat sekalipun. Sudahnya Khalisyah cukup dikenali di kalangan rakan-rakan sepejabatnya. Kalau hari Sabtu, Khalisyah yang lebih dahulu mandi daripadanya... kemudian merengek-rengek untuk mengikutnya ke pejabat.


Sebaik sahaja Miss Sara membuka pintu kereta, angin dari luar menyerbu masuk menjadikan sebahagian daripada rambutnya terbuai-buai ditiup angin keras. Dingin. Pemandangan di jalan raya pula bagaikan ditutupi dengan permaidani kuning bilamana daun-daun tua dari pokok-pokok yang terdapat di kiri kanan jalan bertaburan di atas jalan. Ranting-ranting kecil juga bersepah di serata jalan, seolah-olah baru lepas di langgar angin kuat. Suasana nampak basah tetapi segar. Nyaman sekali rasanya.


Miss Sara meninjau ke dalam pondok telefon yang berwarna hijau itu. Hatinya tiba-tiba hangat. Wayarnya sahaja yang tinggal. Gagangnya juga sudah hilang entah ke mana. Barangkali sudah dicampak di mana-mana longkang atau dibaling pada anjing yang banyak berkeliaran di situ. Vandalisma ada di mana-mana. Di kampung-kampung, di kawasan-kawasan setinggan, waima di taman perumahan mewah begini. Semua ini penyakit masyarakat. Penyakit yang tentunya akan menular menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira apa taraf dan bangsa sekali pun. Dan mangsanya kali ini ialah orang yang benar-benar memerlukan seperti Miss Sara.


Kali ini dia sudah tidak ada ikhtiar lain. Miss Sara masuk semula ke dalam perut kereta. Dia sempat menjeling telefon bimbitnya sebelum menghidupkan semula enjin Wiranya lalu memandu laju menuju ke simpang yang mula-mula dia masuki tadi. Di situ terdapat beberapa deretan kedai yang boleh dijadikan tempat untuk dia bertanya. Dan kali ini dia berharap benar yang dia tidak akan tersesat lagi


This entry was posted on Thursday 11 August 2011. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.

Leave a Reply