CINTA BELAKANG RUMAH

BAB 1

"TINGGAL kat mana?" soal Zana bilamana diberitahu yang Naim juga dahulunya tinggal di Klang. Dadanya berdetak tidak enak. Janganlah mereka tinggal setaman, doanya dalam hati

"Kenapa, awak pernah tengok saya ke sebelum ni?" soal Naim sambil tersengeh. Wajah Zana yang putih bersih itu dipandang dengan pandangan nakal. Cantik... bisik hati kecilnya.

Zana tersenyum kecil. Dia tunduk seketika. Segan untuk berbalas pandang dengan jejaka berkumis nipis itu. Ah, apapun hati perempuannya sudah terdetik rasa kagum.

"Saya tinggal kat Kampung Jawa, bersekolah di Hishamuddin," beritahu Naim akhirnya. "Lagi, apa yang awak nak tau tentang saya?" soal Naim separuh mengusik.

Wajah Zana berubah. Dadanya berdebar. Kampung Jawa? Hishamuddin? Ohhhh... tidak!

"Kenapa? Muka saya sama dengan muka buah hati awak ke?" usik Naim nakal. "Kalau macam tu, untunglah awak," tambahnya, lagi mengusik.

"Apa yang untung?" soal Zana hairan.

"Yalah... dapat borfriend handsome macam saya," jawabnya memuji diri sendiri.

Zana tergelak kecil. Kata-kata Naim mencuit hatinya. Kelakar juga rupa-rupanya mamat ni. Tadi nampak macam sombong, senyum pun tak nak.

"Tak baik tau mengumpat, walau dalam hati," Naim serkap jarang.

Alamak! Macam mana dia tau aku tengah ngumpat dia? Zana tersengeh.

"Saya ni nampak aje sombong, tapi ramah kalau kena caranya," sambung Naim lagi sambil gelak kecil.

Aduh! Comelnya bila dia gelak, bisik Zana nakal. Matanya serasa tidak puas untuk merenung wajah bujur sireh pemuda di hadapannya ini. Tapi dia malu. Jangan maruah Zana, bisik hatinya mengingatkan.

Harum bau rumput yang baru dipotong dari padang sekolah benar-benar menyegarkan perasaan pasangan guru muda yang baru berkenalan itu. Bau enak yang dahulunya sering mereka hidu saat bergelar pelajar. Sekarang bau yang sama mereka nikmati saat bergelar guru pula.

"Kalau dahulu awak bersekolah di Hishammudin, saya pula bersekolah di sebelah Sekolah Hishammudin," terang Zana terus kepada pokok perbualan.

Dahi Naim berkerut.

"Awak belajar di sekolah budak-budak cerdik, mana nak kenal saya yang belajar di sekolah biasa," sambung Zana merendah diri. Dia senyum tatkala melihat Naim memandangnya dengan wajah kehairanan.

Naim diam berfikir. Cuba mengingati sekolah yang terletak tidak jauh dari sekolahnya. Dia ingat sakarang. Ya... sekolah yang sering dikatakan bermasalah. Antaranya masalah gengsterisme yang tidak pernah selesai sejak dahulu lagi.

"Tinggal kat mana?" soal Naim pula. Hatinya berdebar. Jangan-jangan tinggal setaman dengan aku, hatinya meneka.

"Bukit Jati... dekat dengan surau," jawab Zana satu satu.

"Bukit Jati?"

"Lorong 3B... awak?"

"Bukit jati, jugak... tapi Jalan 3A... depan surau," jawab Naim lambat-lambat.

Masing-masing mempemerkan riak terkejut. Wajah Zana nampak panik. Janganlah dia tinggal kat belakang rumah aku. Aduh! Malulah kalau macam ni...

"Rumah nombor berapa?" soal Naim tidak sabar. Hatinya mula berdebar-debar.

"31... awak?" soal Zana sedikit gelabah.

"18... selang tiga buah rumah dari lorong tengah," jawabnya cepat.

Zana menutup mulut. Mukanya rasa kebas seketika. Inikah Naim, nama yang dia sering dengar pada setiap subuh, lima tahun dahulu?

"Naimmm....!!! Berapa kali mama nak gerak hah! Bangun cepat, sebelum mama simbah kau dengan air!" jerit suara yang sehingga kini Zana tidak kenal siapa pemiliknya.

Dan jeritan itu akan didengar selang beberapa minit lagi kemudiannya sehinggalah budak lelaki yang bernama Naim menjawab dengan nada bersahaja.

"Malulah kalau awek belakang ni dengar mama jerit-jerit macam ni..."

"Hah, tau pun malu!"

Waktu tu, Zana dan Niza ketawa mengekek mendengar jawapan Naim itu.

"Hah, ketawa... esok-esok entah dia jadi laki kamu," marah emak.

Saat itu kami berdua ketawa galak macam perempuan gatal, seperti selalu kata emak.








This entry was posted on Saturday, 29 September 2012. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.

Leave a Reply