BILA ANAK2 TAK SIHAT, ITU DUGAAN UNTUK AKU

PENGASUH menelefon, si becok Teja sejak balik sekolah tadi muntah2. So dia tak nak bersekolah petang. Sekarang sedang menangis sebab sakit perut. Si Qasyeh juga sakit perut dan muntah-muntah. Aku di pejabat letih memikirkan apalah yang dimakan anak-anak malam tadi. Apakah penangan dokong dan mangga menyebabkan mereka sakit perut.

Telefon tiba-tiba berbunyi. Khalisyah minta dijemput. Sejak pagi lagi perutnya sudah pedih-pedih, adunya. Adoiii la... kenapa hari ni semua orang sakit perut. Aku? Perut aku ok aje sepanjang hari ni. Malam tadi kami makan benda yg sama. Tanya hubby, dia kata perutnya juga ok aje. Dua anak bujang aku juga ok.

Tiga2 hubby bawa ke klinik Mediveron di Bukit Raja. Sebaik urusan di klinik selesai, aku minta hubby jemput aku di pejabat. Aku minta balik awal. Risaukan anak sehingga tak ada tumpuan pada kerja. Harap2 malam ni semuanya ok. Esok aku perlu kerja. Dateline Rabu, tak terpulun kalau esok keadaan anak2 masih tidak ok.

Malam, aku pantau si Teja dan Qasyeh. Kesiannya, muntah berlambak2. Bagi air sirap, keluar air sirap. Bagi air kosong, keluar air kosong. Bagi Milo, keluar Milo... huhuhu macam mana nak bagi ubat kalau macam ni. Si Qasyeh nampak benar pasrahnya. Suruh makan ubat, lekas aje nganganya. Tak macam si kakak yang banyak kerenah. Nak tergelak pun ada, apabila segelas air garam habis dilanggahnya. 

"Ishhh... tak ada perasaan betul la adik ni," komen si Khalisyah.

Imad Naufal, seperti biasa, tidak terkesan dengan keadaan sekeliling. Dia leka dengan gamenya. Dalam hati aku selalu berdoa, semoga esok apabila dia sudah dewasa, dia akan berubah menjadi abang yang penyayang seperti Afi Syahmi. 

Tiba2 Qasyeh muntah lagi. Aku menjerit minta dibantu. Kali ini terkena atas baju yang masih belum sempat aku tukar. Panas muntahnya meresap ke kulit. Hehehehe... hidung aku mula kembang-kempis. Atas toto juga dipenuhi dengan muntah. Rambut, baju, juga seluar habis terkena muntah. Tiba2 wajah emak terlayar di ingatan. Macam ini agaknya dahulu susah payah arwah emak membesarkan kami lapan beradik. Aku senyum... dugaan kecil.
Selesai tukar baju si Qasyeh, aku mandi. Kemudian bentang tilam depan TV. Hubby aku kerah suruh masuk bilik. "Nak temankan tak?" soalnya prihatin. "Tak payah, esok kalau tak ok, terus ke Hospital Sri Kota," kataku membuat keputusan. Tenaganya aku perlukan untuk esok.

Semalaman tidur2 ayam. Sekejab, Nilam Nur Qasyeh muntah, sekejab2 Teja Wafiyyah pula. Ada ketikanya, dua2 berebutkan bekas muntah yang sama. Atiq Khalisyah, aku minta dia urus diri sendiri. 

"Mama boleh pengsan kalau kamu juga nakkan perhatian," kataku apabila dia minta disuapkan ubat.

Selang dua jam, kadang-kadang sejam, anak2 masih muntah. Ubat angin sudah aku beri, ubat tahan muntah juga. Sekarang, badan kedua-duanya pula panas. Hati mula dijentik rasa bimbang. Janganlah ada benda2 yang tak elok menimpa anak-anakku. Hati tidak henti2 berharap dan berdoa.

Sebelum baring, aku siapkan bubur nasi. Manalah tau kalau2 tengah malam nanti mereka lapar. Botol2 air meneral, air sirapair Milo, tisu, aku susun kemas di atas meja. Bubur nasi aku letakkan bersama kicap. Tuala kecil dan selimut aku letakkan di hujung kaki. Perlahan-lahan aku rebahkan badan. Terasa sakit pinggang. (Tahan Shida, hati mengingatkan).


Dua jam kemudian... betul, tiba-tiba Teja meminta bubur nasi. Huh, nasib baik aku dan siapkan. Firasat ibu selalunya tepat. Aku menyuapkan dia makan dengan lafaz bismillah serta doa, semoga apa yang aku berikan padanya ini, tidak akan diluahkan. Semoga bubur nasi ini, mampu menghentikan kesakitan yang dia tanggung.

Tak lama... semua yang dimakan, dimuntahkan semula selang setengah jam kemudiannya. Bubur nasi entah ke mana. Sedih... kesian melihat tubuh kecilnya menysut tiba2. Aku mula memujuk tangisan-tangisan kecil yang terbit dari bibirnya. Aku tahu dia tak upaya saat ini. Apapun alhamdulillah, tatkala melihat si Qasyeh yang nampak lena. Wajah letihnya aku renung dalam-dalam. Dia memang anak kuat.

Sedar2 hari sudah pagi. Entah masa bila tidur, masa bila terjaga, sedar2 suara Azan sudah berkumandang. Oh, mata terasa pedih berpasir. Kepala sudah memberat. Anak2 nampak lena selepas semalaman gelisah dan muntah. Ruang tamu dah macam wad, dengan botol2 ubat tersusun atas meja. Berjenis2 air aku buatkan, semuanya sekadar dijamah sahaja. Kedua-duanya 'mati selera.'

Selesai solat, aku sambung tidur. Kepala rasa memberat. Leher terasa ketat. Aku nekad untuk mengambil cuti kecemasan. Anak2 perlu aku utamakan. Mesej aku hantar kepada bos minta pelepasan. Tidak sampai hati untuk membebankan pengasuh dengan keadaan anak2 yang tidak sihat. Lagipun aku perlu ke hospital jika keadaan berlanjutan.

Alhamdulillah, sebaik bangun tidur, Nilan Nur Qasyeh memandang aku dengan wajah tersenyum. Aku tersenyum sama. Dari semalam, sepatah perkataan pun tidak keluar dari bibirnya. Melainkan mempamirkan riak lesu dan murung.

Di dapur, hubby telah menyediakan sarapan. Itu memang rutinnya setiap hari. Kerja-kerja sekarela. Tetapi mood makan aku hilang. Kerja2 di dapur aku dahulukan sementara Teja masih lena. Air Milo aku bancuh. Ayam yang baru selesai aku basuh, aku goreng bagi memenuhi permintaan Teja malam tadi. Nasi juga aku tanak supaya tekak anak2 dapat menerima makanan yang masih panas.

Sayup2 aku terdengarkan suara kanak-kanak menyanyi. Anak jiran barangkali. Tetapi nyanyian itu macam biasa aku dengar, seperti mesra dengan telinga...

Aku intai ruang tamu, si kecil Qasyeh sedang berbaring sambil silang kaki. Oh, rupa2nya dia yang menyanyi... 

"Burung Kakak Tua, hinggap di jendela"...

Aku senyum memandangnya. "Mama, Asyeh dah boleh nyanyi. Asyeh dan tak muntah lagi," katanya sambil tersengeh. Aku yang mendengar hampir menangis. Akhirnya... syukur alhamdulillah. Sejak semalam aku tidak mendengar suaranya, pagi ini dia sudah tidak menggunakan bahasa isyarat lagi seperti malam tadi. Kelegaan untuk kami semua... 

Namun kelegaan kami tidak lama apabila diberitahu, emak mertua di kampung juga sudah dua tiga hari tidak sihat. Juga muntah2, malah demam. Sayangnya, emak enggan dibawa ke klinik, menyebabkan penyakitnya melarat lama. 

Ah, seperti anak2 aku, emak juga tentunya memerlukan perhatian daripada anak2. Sedih seketika kerana untuk waktu terdekat ini kami tidak dapat menjenguknya. Apapun aku berdoa semoga emak cepat sembuh walaupun aku tahu dia sememangnya takutkan ubat.

This entry was posted on Wednesday 3 October 2012. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response.

Leave a Reply